Bengkel Jurulatih Pemulihan Bertauliah 2.0 (Sesi 1)
Majlis Perasmian Bengkel Jurulatih Pemulihan Bertauliah 2.0 atau lebih dikenali sebagai Certified Recovery Coach 2.0 (CRC 2.0) tahun 2023 anjuran Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) dengan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diadakan pada 15-18 Mac 2023 di Hotel Puteri Bay, Melaka.
Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh Y.Brs Tuan Muhammad Nur Iman Hairusalleh (Yayasan Bank Rakyat),Y.Brs Puan Noor Azrimah Ahmad (Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Melaka), Y.Brs Prof Madya Dr Mohamad Isa (Timbalan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia), Ahli-Ahli Exco Majlis Eksekutif Masac dan wakil daripada NGO Gabungan MASAC.
Sesi pertama ini telah berjaya mengumpulkan seramai 40 orang peserta pelbagai latar belakang daripada seluruh negara yang berhasrat membina pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kepulihan ketagihan bahan terlarang seperti dadah. Tenaga pengajar bagi program khas pemulihan ini terdiri daripada pakar dan pensyarah dari Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pengamal media yang pernah memenangi anugerah media kesihatan dan wakil industri komunikasi korporat.
Beberapa topik yang dibincangkan dalam pensijilan ini adalah berkenaan pemahaman tentang ketagihan, rawatan serta faktor-faktor yang boleh memberikan kesan kepada ketagihan. Antaranya adalah seperti faktor keluarga, trauma, dan gangguan serentak. Turut dibincangkan ialah pelbagai jenis bahan ketagihan dan bagaimana ia mempengaruhi tubuh dan otak serta alat dan kemahiran yang boleh digunakan dalam penilaian, intervensi, dan pencegahan relapse. Sesi turut menekankan tentang kepentingan komunikasi serta peranan media sosial dalam menyampaikan maklumat dan membina persekitaran yang positif.
Para peserta menamatkan sesi pertama program dengan menjawab ujian pemahaman selepas 4 hari berkampung. Seterusnya, para peserta akan berkumpul semula untuk menjalani latihan lapangan pada sesi kedua program yang dijangka diadakan pada bulan Mei 2023. Sehingga bertemu kembali bakal jurulatih!