top of page
  • Writer's pictureMASAC

MASAC cadang AMF tawar pembiayaan kepada bekas penagih


SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mencadangkan Tabung Kewangan Asia (AMF) membuka peluang kepada bekas penagih yang telah lima tahun bebas dadah ditawarkan kemudahan pinjaman kecil bagi memulakan perniagaan dalam skala kecil.


Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, sekiranya perkara itu dijadikan salah satu teras kecil AMF bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah lain.


"Jika AMF membantu bekas penagih menjadi majikan maka peluang bekas penagih lain bekerja di entiti korporat atau perusahaan dimiliki oleh komuniti sama akan lebih cerah untuk mereka yang telah berubah.


"Ini bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan dan pengalaman sekali gus meraih pendapatan lumayan untuk menyara keluarga mereka.


"Pinjaman dengan kadar yang sesuai ini boleh memberikan faedah kepada semua negara Asia dalam mengurangkan kes 'relapse' dadah selain memberikan mereka peluang kehidupan lebih baik atas kesilapan menghisap dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Dalam pada itu, Raja Azizan turut mencadangkan agar Akta Profesion pelbagai bidang profesional di negara ini dipinda bagi membolehkan bekas penagih yang mempunyai kelulusan berkait dibenarkan mengamalkan profesion mereka setelah berjaya bebas daripada dadah lima tahun dan ke atas.


Mengambil contoh, beliau berkata, doktor, peguam atau jurutera yang telah bebas najis dadah lebih lima tahun dibenarkan kembali beramal atas kelulusan badan yang mengawal profesion tersebut.


"Sempena Hari Pekerja 2023 ini, kerajaan boleh mula membuat kajian lanjut kepada keberkesanan cadangan ini bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja profesional negara," ujarnya.


Selain itu, Raja Azizan mencadangkan jawatan penasihat mahkamah bagi permasalahan dadah di mahkamah seluruh negara diwujudkan bagi mereka yang dituduh kali pertama kes dadah dengan mengambil individu dari pelbagai bidang antaranya bekas guru, bekas warden penjara, bekas peguam dan bekas hakim untuk membantu menasihatkan mahkamah tentang hukuman yang sesuai dalam kes dadah.


Ujarnya, perkara tersebut mampu memberikan impak lebih baik seperti kesan kebaikan untuk Penasihat Mahkamah bagi Kanak-Kanak sempena Hari Pekerja 2023.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menyeru kerajaan agar mewujudkan satu skim subsidi sebanyak RM100 yang dibayar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja setiap bulan kepada majikan yang menggajikan bekas penagih dadah di seluruh negara dengan semangat madani dibawa kerajaan.


"Skim subsidi Rahmah pekerja dadah ini hanya terbuka kepada pesalah dadah kali pertama agar mereka mampu diberikan peluang menjana pendapatan baik selepas berjaya pulih daripada permasalahan dadah mereka," ujarnya. - oleh NURFARDLINA IZZATI MOKTAR, Sinar Harian

12 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page