KUALA LUMPUR - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 memberi peluang kepada penagih dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan sekali gus membolehkan mereka bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat serta negara.
Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, penagihan dadah merupakan penyakit kronik serta boleh berulang dan pengekalan kepulihan bergantung kepada kualiti kehidupan yang memerlukan pelbagai sokongan.
"Mereka yang mengalami pengulangan penagihan dalam keadaan ketidakfungsian psikologi, maka adalah tidak wajar dikenakan hukuman penjara atau mana-mana hukuman, selain meneruskan rawatan kaedah farmakoterapinya.
"Pengurusan penjagaan lanjutan yang menjamin kualiti kehidupan individu itu bagi menangani pengulangan penagihan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abd Halim berkata, pendekatan penjagaan lanjutan kualiti kehidupan merangkumi proses rawatan bersepadu dan bersifat bimbingan vokasional diperlukuhkan dengan progran pendampingan sosial yang lebih berstruktur.
"Hukuman penjara adalah tindakan terakhir yang mana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah beri ruang dan peluang terhadap kes tidak komplians atau relaps yang berpanjangan," katanya.
Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 yang akan diperbahaskan di peringkat Parlimen pada persidangan kali ini bakal menjadi 'senjata baharu' kerajaan dalam menangani kumpulan penagih dadah di negara ini.
Jelas beliau, langkah meminda akta sedia ada itu bertujuan memberi peluang kepada golongan penagih yang telah mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela.
Menurutnya, pendekatan baharu yang dilaksanakan dalam pindaan akta baharu itu mahu menjadikan individu terlibat dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai kumpulan penagih yang ditahan di penjara.
Tambahnya, jika langkah melakukan pindaan akta tersebut berjaya, ia akan memudahkan lagi usaha memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuhi banyak karenah birokrasi. - Oleh: AHMAD ISMADI ISMAIL, Sinar Harian
Comments