top of page
  • Writer's pictureMASAC

Bekas penagih ambil semula dadah demi kepuasan seksual


Foto hiasan


KUALA LUMPUR: Demi meningkatkan keinginan seksual apabila bersama pasangan, kajian mendedahkan segelintir penagih dadah terutama lelaki kembali terjebak mengambil bahan terlarang itu.


Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi berkata, terdapat penagih yang mendakwa keupayaan seksual mereka terjejas sekaligus menyukarkan mereka meninggalkan ketagihan itu.


“Masac ingin berkongsi, adanya kes relapse kembali semula kepada masalah penagihan atas sebab meninggalkan bahan terlarang seperti dadah yang turut memberikan kesan kepada keupayaan seksual terutama dalam kalangan pengguna lelaki.


“Ada juga kes, apabila ada pasangan memujuk mereka yang tidak menagih dadah ini untuk ambil dadah semula hanya untuk ‘bersama’, supaya kepuasan dapat dicapai.


“Walaupun kes sebegini tidak berlaku kepada semua bekas pengguna bahan terlarang, namun ramai antaranya menghadapi permasalahan yang dianggap taboo ini,” katanya dalam kenyataan.


Beliau memperincikan dapatan kajian daripada Program Jurulatih Pemulihan Bertauliah atau Certified Recovery Coach 2023 anjuran Masac dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang berlangsung di Melaka, bermula Rabu lalu hingga hari ini.


Program itu turut mendapat tajaan Yayasan Bank Rakyat Malaysia.


Mengulas lanjut, Raja Azizan berkata, penagih dadah tidak seharusnya memilih najis itu semula bagi meningkatkan seksual mereka kerana terdapat pelbagai kaedah lain bagi merawat masalah itu, namun memerlukan disiplin tinggi dan mengambil masa.


“Pelbagai cara perlu digabungkan untuk memulihkan semula urat yang rosak, minda dan pemikiran yang bergantungan kepada bahan terlarang.


“Mood juga boleh diubati dan sembuh melalui rawatan urutan, pemakanan sihat, mengubah cara hidup sihat seperti bersenam dan mendapatkan rehat dan tidur mencukupi.


“Selain itu, ubat-ubatan yang dibenarkan kerajaan seperti tongkat ali juga mampu mengembalikan semula tenaga dalaman untuk kehidupan rumah tangga, namun bekas pengguna ini perlu kuat mental dan fizikal.


“Pasangan mereka perlu memahami dan memberi masa kerana selain perlu pulih daripada ketagihan bahan terlarang, kesembuhan serta pemulihan tenaga seksual juga memakan masa bertahun… perlu kuat mental dan fizikal,” katanya.


Beliau turut menasihati pasangan yang biasa mendapatkan kepuasan seksual melalui penggunaan dadah, supaya memberi sokongan kepada bekas penagih untuk tidak kembali mengambil bahan itu.


“Mereka perlu sokong proses pemulihan tenaga seksual melalui pelbagai cara dan kaedah, sama ada tradisional atau moden yang diberikan hospital kerajaan selain bantuan kaunseling.


“Masac turut menasihati golongan remaja dan belia supaya tidak mengambil dadah kerana kerosakan akibat dadah membawa kesengsaraan kepada fungsi badan termasuk keupayaan seksual yang menjejaskan kehidupan rumah tangga mereka pada masa hadapan,” katanya.


Masac turut menyeru syarikat terkemuka seperti pengeluar kondom atau pembekal ubat tongkat ali memberikan geran penyelidikan kajian yang membantu penyelidik, supaya hasilnya memberi faedah kepada mereka yang terbabit dalam masalah itu.


“Masac mempelawa pihak universiti awam atau swasta membuat kajian lanjut mengenai perkara ini supaya satu kaedah selamat dapat dibangunkan untuk program pemulihan seksual bekas pengguna bahan terlarang membabitkan modul penggunaan ubat, jadual senam dan pemakanan.


“Ini bagi memastikan mereka ini tidak kembali kepada dadah atas sebab ingin memuaskan seksual pasangan mereka dalam mengharmonikan rumah tangga masing-masing,” katanya. – HARIAN METRO

27 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page