top of page
  • Writer's pictureMASAC

Beri pengampunan penuh pada pengguna dadah ringan



MAJLIS Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac) menyarankan agar kerajaan mewujudkan lembaga keampunan khas bagi bekas-bekas pengguna dadah sebagai peluang kedua.


Pihak Masac berharap pengampunan penuh automatik dan pembersihan rekod kesalahan diberikan kepada bekas penagih yang menjalani hukuman dan pemulihan serta dijamin bersih dalam tempoh lima tahun.


Setiausahanya, Raja Azizan Suhaimi berkata, negara ini mempunyai jumlah bekas pengguna bahan terlarang termasuk dadah yang ramai, berjumlah puluhan ribu sejak penggunaan dadah dijadikan satu kesalahan di Malaysia.


“Mereka yang pernah terlibat dengan masalah pengambilan dadah ini, ramai yang sudah insaf apabila dihukum dan mempunyai sokongan rakan pemulihan agar mereka kekal pulih dan tidak kembali kepada pengambilan dadah.


“Mereka ini sungguhpun cekal dan menguatkan hati untuk tidak kembali ke kancah dadah berdepan kesukaran mendapat peluang pekerjaan kerana mempunyai rekod sebagai bekas pengguna dadah yang pernah dihukum penjara atau denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Masac berharap kerajaan membantu golongan berkenaan agar mereka dapat meneruskan kehidupan tanpa sebarang stigma dan prejudis masyarakat.


Sehubungan itu Raja Azizan berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan satu arahan pentadbiran agar bekas pengguna dadah yang sudah bersih secara automatik diberi pengampunan penuh dan data mereka bebas daripada rekod hukuman.


“Ini kerana banyak kes pengguna dadah yang pernah dihukum kerana ambil dadah atau memiliki dadah penggunaan sendiri dengan jumlah kecil terus punah kehidupannya daripada sudut kerjaya.


“Sedangkan mereka ini mempunyai latar belakang hebat dari segi pendidikan dan kerjaya,” katanya, lapor MalaysiaKini.


Tambahnya, bekas pengguna dadah juga boleh memenuhi tawaran kerja bagi sektor yang sering diisi oleh tenaga kerja warga asing.


Pekerja asing sendiri, katanya, mungkin tidak disaring dengan benar-benar teliti dalam isu rekod penggunaan dadah. - WartaRakyat

44 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page