top of page
  • Writer's pictureMASAC

Cukai vape kurangkan ketirisan pendapatan kerajaan


Foto hiasan/FAIL NSTP


KUALA LUMPUR: Cukai ke atas vape adalah langkah baik dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil pendapatan kerajaan daripada jualan rokok biasa yang kini berkurangan susulan kehadiran peranti vape.


Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi, berkata vape sudah lama berada dalam pasaran dan pengenalan cukai berkenaan mampu mendapatkan semula cukai rokok yang menyusut kesan lambakan vape di pasaran.


"MASAC berharap apabila Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin dibentang di Parlimen pada Mei ini, ada seksyen yang hanya membenarkan penggunaan peranti vape dalam kalangan pengguna berusia 18 tahun dan ke atas.


"Ia bagi memastikan belia dan pelajar bawah umur itu tidak terbabit dengan penggunaan vape," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini


KKM dilapor akan membentangkan RUU baharu untuk mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin digunakan untuk tujuan merokok.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata, pembentangan RUU itu adalah bagi memastikan wujud kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape.


Katanya, KKM meletak sasaran membentang RUU baharu ini dengan segera pada sidang Dewan Rakyat, Mei ini.

Raja Azizan berkata, MASAC sedia menghantar seorang pegawai dari kalangan Exco menganggotai Lembaga Racun Negara untuk membantu dalam perkara itu.

"Usaha berani kerajaan ini harus diimbangi dengan menambah perjawatan sama ada kontrak atau tetap kepada agensi pelaksana berkait dadah dan nikotin.

"Ini seperti inspektor kesihatan, pegawai rendah polis Narkotik, pegawai rendah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pegawai rendah Maritim Malaysia dan pegawai rendah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Langkah ini bagi memastikan perundangan baharu itu mampu dilaksanakan dengan berhemah oleh agensi sedia ada dengan kekangan dan beban tugas kini," katanya.

Raja Azizan berkata, MASAC turut sedia menganggotai kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, MASAC bersedia bersama KKM supaya maklumat mengenai nikotin vape yang mungkin dicemari dadah dapat dikongsi bersama rakyat.

"Kita mahu pengguna bijak memilih jenis nikotin yang berdaftar dan tidak semberono membeli nikotin di tempat tidak diketahui kandungannya walau dijual pada harga murah. "Penggunaan alat peranti vape di umur awal seperti remaja mempunyai kecenderungan tinggi kepada pembabitan permasalahan dadah pada masa depan," katanya.

Raja Azizan berkata, MASAC menyanjung keberanian KKM membentangkan RUU baharu untuk mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

"Usaha berani itu akan membolehkan jumlah penagihan bahan terlarang dadah dari sumber cecair rokok elektronik atau vape berkurangan," katanya.

- Oleh Tuty Haryanti Ahmad: Berita Harian


10 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page