Gambar hiasan.
PETALING JAYA – Ambil dadah demi memperolehi tenaga tambahan ketika melakukan hubungan intim bersama pasangan antara sebab ramai golongan lelaki terlibat dengan masalah penagihan bahan terlarang ini.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, terdapat kes-kes ‘relapse’ atau kembali semula kepada masalah penagihan disebabkan mahu meningkatkan keupayaan seksual.
Katanya, situasi ini lebih menjurus kepada kaum lelaki kerana mereka menjadikan pengambilan dadah itu sebagai ‘ubat’ memuaskan nafsu pasangan masing-masing.
Jelas Raja Azizan lagi, perkara tersebut diperolehi menerusi dapatan dari Program Jurulatih Pemulihan Bertauliah anjuran kerjasama Masac dan Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan bermula kelmarin sehingga esok.
“Walaupun kes sebegini tidak berlaku kepada semua bekas pengguna bahan terlarang, namun ramai antaranya menghadapi permasalahan yang dianggap sulit dan ‘taboo’ ini.
“Sebenarnya, permasalahan ini bukan kekal dan boleh pulih tanpa kembali menggunakan dadah untuk memuaskan nafsu pasangan mereka.
“Ia boleh sembuh melalui rawatan urutan, pemakanan yang sihat, ubah cara hidup yang sihat seperti bersenam dan cukup rehat serta tidur dan juga tambahan ubat-ubatan yang dibenarkan kerajaan seperti tongkat ali mampu mengembalikan semula tenaga kejantanan untuk kehidupan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Raja Azizan berkata, pihaknya menasihatkan bekas pengguna agar terus cekal mengharungi rumah tangga bersama pasangan tanpa melibatkan kembali semula ke dadah semata-mata untuk dijadikan ‘ubat’ tambahan meningkatkan keupayaan seksual.
“Manakala bagi pasangan yang telah biasa dengan kepuasan seksual melalui penggunaan dadah, Masac merayu agar mereka ini memberi sokongan kepada bekas pengguna untuk tidak kembali ke dadah untuk kepuasan seksual.
“Selain itu, beri sokongan terhadap proses pemulihan tenaga seksual melalui pelbagai cara dan kaedah sama ada tradisional atau moden yang diberikan hospital kerajaan atau bantuan kaunseling.
“Kepada golongan remaja dan belia, Masac menasihatkan agar mereka tidak bermula dengan dadah kerana kerosakan dadah membawa kesengsaraan kepada fungsi badan termasuk keupayaan seksual termasuk memberikan kesan kepada kehidupan rumah tangga,” pesannya. – KOSMO! ONLINE
Comments