KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap memberi pengiktirafan rasmi kepada badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah supaya dapat memainkan peranan lebih efektif dalam membantu usaha membanteras dan pemulihan penagihan dadah di negara ini. Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Datuk Izhar Abu Talib, berkata kewujudan MASAC serta NGO berkaitan dadah lain memang sudah diiktiraf oleh kerajaan namun berhadapan dengan isu dana serta peruntukan undang-undang. "Memang kerajaan mengiktiraf peranan dan tanggungjawab NGO namun pengiktirafan itu sewajarnya bukan secara lisan sahaja tetapi juga perlu ada komitmen daripada pemegang taruh (stakeholder) untuk menyediakan peruntukan.
"Ini termasuk mewujudkan peruntukan undang-undang bagi memastikan khidmat kami diiktiraf dan pada masa yang sama pihak stakeholder ini perlu memperakui kepentingan dan peranan NGO sama dengan peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Bengkel Pemasalahan Penggunaan Amphetamine Type Stimulant (ATS) yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, Pada majlis itu, Megat D Shahriman yang juga Ahli Majlis Penasihat MASAC menyumbang RM10,000 kepada organisasi itu untuk menanggung kos pentadbiran NGO berkenaan.
Izhar berkata, sebanyak 45 NGO yang berperanan sebagai pusat pemulihan dadah persendirian di bawah MASAC juga akan dapat menerima faedah sekiranya kerajaan dapat memberikan peruntukan tertentu supaya khidmat mereka dapat dipertingkatkan. Difahamkan, semua NGO berkenaan mampu menampung sehingga 1,300 penagih dadah yang mahu menjalani pemulihan dalam satu-satu masa dengan kadar yuran tertentu bergantung kepada kemampuan keluarga. Izhar turut berharap kewujudan MASAC serta NGO berkaitan dadah lain dapat diiktiraf seperti Majlis AIDS Malaysia (MAM) yang diberikan peruntukan oleh kerajaan serta mempunyai peruntukan undang-undang khas dalam koordinasi NGO berkaitan HIV dan AIDS di negara ini. Mengulas mengenai usaha menghentikan pelabelan penagih dadah sebagai penjenayah, Izhar mengakui perubahan pentadbiran kerajaan sedikit sebanyak mempengaruhi usaha itu. Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yakin usaha menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah akan tetap diteruskan kerajaan Perikatan Nasional. "Sebelum ini, memang sudah hampir sedia tetapi belum dibawa ke Kabinet, perbincangan dengan pihak NGO, persatuan doktor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi berkaitan dadah sudah dilakukan. "Tetapi perkara ini dari segi dasarnya masih belum dibawa ke peringkat Kabinet, apabila bertukar kerajaan masih belum ada kata putus," katanya.
Comments