top of page
  • Writer's pictureMASAC

Wajib tahu status mental dan bebas dadah pasangan


SAYU hati apabila barubaru ini terlihat satu video pengguna Tiktok yang memuat naik keadaan rumah kakaknya yang usang selepas dipercayai menjadi mangsa bunuh suaminya sendiri dalam kejadian beberapa tahun lalu.


Lebih menyayat hati apabila melihat baju-baju yang disidai pada hari kejadian mereput di ampaian, masih belum sempat diangkat.


Tidak sedikitpun isteri itu tahu bahawa hari itu adalah hari terakhirnya menyidai baju di ampaian sebelum dibunuh oleh suaminya pada malam hari.


Itu belum lagi dalam satu kes berasingan seorang suami sanggup mengelar leher isteri dan bayinya yang baru sahajahabis berpantang sebelum meninggalkan tempat kejadian dalam keadaan berbogel.


Bukan merujuk spesifik kepada kes-kes berkenaan kerana ia masih lagi dalam siasatan, namun bukankah semua ini memberi petanda bahawa kesejahteraan mental dan penyalahgunaan dadah pasangan harus diteliti sebelum mengambil keputusan berkahwin?


Berpendapat sama, Pakar Psikologi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, sudah tiba masanya sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kekejaman melampau dalam rumahtangga.


Antaranya pelaksanaan saringan ujian mental dan penyalahgunaan dadah pasangan tidak kira lelaki atau perempuan sebelum mendirikan rumah tangga.


“Misalnya sebelum ini hanya memerlukan ujian HIV dan Talasemia, namun kini mungkin boleh dijadikan pakej dengan memasukkkan saringan mental dan dadah sekali.


“Terdapat banyak kaedah dan alat psikologi boleh digunapakai untuk mengenal pasti simptom sama ada seseorang mempunyai kesejahteraan mental yang terjejas,” katanya kepada Seri.


Kesihatan mental terangkum dalam kesejahteraan mental. Ia bermaksud keadaan emosi dan psikologi yang stabil dalam menjalani aktiviti harian sekaligus menjadikan kehidupan tenang dan gembira.


Lebih-lebih lagi katanya, banyak kaedah boleh digunakan di negara ini untuk menguji keadaan mental seseorang.


Salah satunya adalah Depression Anxiety Stress Scale 21 (DASS 21) yang sememangnya sudah diapdatasi oleh kerajaan di negara ini.


Ujian berkenaan merupakan saringan awal untuk menilai tahap kemurungan, kebimbangan dan stres melalui simptom yang dialami oleh individu.


“Oleh itu, apabila simptom simptom itu dikenalpasti, individu boleh terus dirujuk kepada kaunselor atau psikiatri untuk mendapatkan rawatan awal.


“Bukan kata orang yang ada simptom atau penyakit ini tidak boleh kahwin, tetapi kita mahu ambil rawatan awal supaya apabila berkahwin nanti mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik,” ujarnya.


PERANAN KELUARGA


Tambahnya, penyakit berkaitan mental bukanlah dapat dilihat secara kasar apatah lagi ketika sedang dilamun cinta.


Pasti semua terlihat indah-indah sahaja.


Dalam keadaan ini, keluarga juga perlu memainkan peranan dalam mencari dan tahu latar belakang pasangan.


“Selain itu, ahli keluarga dan saudaramara terdekat perlu beri nasihat sesuai supaya tidak terjadi perkara tidak diingini selepas berkahwin,” jelasnya.


Hal ini kerana katanya, keluarga akan lebih rasional dalam memberi pandangan berbanding sekadar membiarkan pasangan yang sedang dilambung cinta membuat keputusan.


Kerana apabila sudah dilamun cinta, terutamanya wanita akan nampak yang baik-baik sahaja pada pasangan dan mengharapkan pasangan akan berubah selepas kahwin.


“Bukan mudah untuk seseorang berubah apatah lagi jika berkaitan dengan penyalahgunaan dadah. Dapatkan nasihat pakar, kaunselor dan keluarga sebelum mengambil sebarang keputusan,” ulasnya.


Jika difikirkan secara logik, pasangan yang sudah berkahwin juga sebenarnya boleh menjalani saringan ini bagi mengurangkan risiko.


Selain itu, majikan yang prihatin juga mungkin boleh memberikan galakan kepada pekerja untuk tahu mengenai status kesejahteraan mental masing-masing.


Ini bagi memastikan pencegahan kepada berlakunya tindakan luar kawalan boleh dicegah secara holistik.


Senang kenal lagak penagih


SETIAUSAHA Agung Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (MASAC), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latif berpendapat saringan tambahan sedemikian dapat membantu mengurangkan risiko kejadian tragis antara suami dan isteri.


Bagaimana pun, katanya, kerajaan perlu menyediakan dasar dengan pelaksanaan yang baik agar tidak berlaku kelompongan terutamanya dalam saringan dadah.


Apatah lagi ketika ini katanya, terdapat penggunaan dadah sintetik yang sukar dikenalpasti walaupun melalui ujian air kencing.


“Kita panggil sebagai New Psychoactive Substances yang sebilangan besarnya belum diwartakan sebagai dadah. Jadi, bila buat ujian air kencing pun keputusannya tidak positif dadah.


“Tetapi sebenarnya dadah jenis sintetik ini sangat berbahaya dan menjahanamkan otak. Malah, ia semakin berleluasa ketika ini,” katanya.


Oleh itu, katanya, wanita secara amnya perlu bijak menilai tindaktanduk pasangan kerana penagih dadah tidak sukar untuk dikenalpasti.


“Antara tanda-tandanya adalah semasa dalam proses berkenalan sudah selalu minta duit, mood berubah-ubah, panas baran, mata selalu berair dan muka pucat tidak berseri. Mereka juga sering kelihatan kelamkabut.


“Wanita pula jangan berfikiran selepas kahwin si dia akan berubah. Bukan senang untuk merawat ketagihan dadah, malah tiada istilah pulih dalam ketagihan dadah. Ketagihan hanya dapat dikawal sahaja,” ulasnya. - Oleh INTAN SUHANA CHE OMAR, 25 November 2023, 8:30 am



12 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page