top of page
  • Writer's pictureMASAC

Rokok elektronik antara penyumbang utama peningkatan kes dadah – MASAC


FOTO: NSTP


PETALING JAYA: Rokok elektronik atau vape, antara punca peningkatan tahap penagihan dadah di negara ini, kata Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul Latif.


Jelasnya, golongan muda terutamanya berasa seronok menghisap vape disebabkan bahan psikoaktif baharu (new psychoactive substances – NPS) yang terkandung dalamnya.


NPS juga dikenali sebagai ‘dadah ciptaan’ merupakan bahan sintetik yang direka bentuk bagi meniru kesan dadah berbahaya terlarang dan kebal undang-undang antidadah.


“Setakat ini lebih 800 jenis NPS yang belum digazetkan sebagai dadah,” katanya kepada BuletinTV3.


Justeru, menurut Raja Azizan, ramai penagih dadah dikesan susulan pengambilan NPS oleh penghisap vape.


Selain itu katanya, peningkatan jumlah penagih adalah disebabkan dadah jenis ‘ice’ methamphetamine yang senang diproses.


“Dadah jenis ice dan methamphetamine ini senang diproses, kalau sewa sebuah kondominium, individu boleh buat keuntungan RM3,000 hingga RM4,000 dengan senang dan disebabkan itu ia murah,” ujarnya.


Malah kini bahan terlarang itu mudah dibeli dalam talian.


Sementara itu, Raja Azizan berpendapat, dalam usaha memerangi dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak sewajarnya dibebani dengan pelbagai kerja termasuk rawatan, perubatan, pemulihan serta penguatkuasaan.


Foto hiasan


Sebaliknya beliau mencadangkan agensi terbabit hanya memberi fokus kepada langkah pencegahan dan pemulihan manakala tangkapan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA).


Jelasnya, ia bagi memastikan proses pemulihan penagih dadah berkesan.


“Pada pandangan saya, di dalam AADK sendiri perlu diperbanyakkan lagi psikiatri dan kaunselor serta daripada anggota yang mahir untuk menjalankan rawatan dan pemulihan,” ujar beliau.


Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, tahap penagihan dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila anggaran terkini menunjukkan 1,097,408 rakyat terjerumus dalam najis dadah.


Lebih menyedihkan, 328,640 daripada jumlah itu adalah mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.


Ketua AADK, Sutekno Ahmad Belon pula mendedahkan, bekalan dadah sintetik boleh diperolehi pada harga serendah RM18 menerusi ‘dark web’ atau sesawang gelap serta platform aplikasi sembang sosial lain. - Oleh: Fatin Hanani Sahimi, BuletinTV3

60 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page