top of page
Writer's pictureMASAC

Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menunjukkan bungkusan daun ketum dianggarkan bernilai RM3,340 dirampas susulan penahanan lima lelaki dalam operasi di sebuah rumah di Taman Medan, Petaling Jaya pada 17 Februari lalu. - Foto hiasan BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) meminta kerajaan segera mewartakan ketum sebagai sejenis dadah di bawah jadual Akta Dadah Berbahaya (ADB) sebelum hujung tahun ini.


Setiausaha Agung MASAC, Raja Azizan Suhaimi, berkata langkah drastik menangani gejala ketagihan air ketum adalah bagi mengelakkan berlakunya lambakan penagih dadah 'ekspres' baharu yang lahir daripada pengambilan bahan itu yang kini semakin menular dalam kalangan masyarakat.


"Telah sampai waktunya permasalahan pengambilan ketum ini tidak dilihat enteng oleh semua pihak kerana ia ibarat api dalam sekam yang akan 'membakar negara' dari dalam secara diam-diam dan amat perlu ketum ini digazetkan sebagai sejenis dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raja Azizan berkata, sebagai langkah intervensi awal sebelum ketum diwartakan di bawah ADB, Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) di seluruh negara boleh digerakkan untuk mendaftar penagih ketum sebagai in house patient atau out patient bagi mendapatkan rawatan secara one-off tanpa hukuman atau rekod jenayah dengan menggunakan dana kerajaan.


Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) berkait dadah yang tiada kemudahan PPDP pula boleh disediakan dana bagi mengadakan program ceramah dan penyaluran maklumat kepada mereka yang belum terlibat atau baru sahaja mula 'berjinak' dengan pengambilan air ketum.



Botol berisi air ketum yang dirampas polis. - Foto polis


"MASAC mengharapkan sekiranya ada dana daripada kerajaan untuk NGO membantu gerakan antiketum ini, biarlah ia datang dari Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dua tahun pertama ini sebelum pewartaan ketum sebagai dadah berbahaya.


"NGO berkait dadah ini dapat menggunakan dana, kemudahan, kepakaran perubatan KKM sebagai usaha awal menyelesaikan permasalahan yang semakin meruncing dalam masyarakat," katanya.


Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau berkata MASAC menyokong penuh usaha Jabatan Penjara Malaysia menjadikan Pendekatan Pemulihan Dalam Komuniti sebagai pilihan utama mengurangkan jenayah berulang terutamanya bagi kesalahan membabitkan kes penyalahgunaan dadah serta penjual dadah kecil-kecilan menjelang 2030.


Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara tetapi juga membantu mengatasi masalah penagihan dadah berulang secara kos efektif serta mengajak lebih ramai penagih mendapatkan rawatan secara sukarela.


"Ketagihan dadah adalah penyakit otak kronik yang mudah berulang dan berpanjangan dan kerana itu KKM perlu dilibatkan secara serius dalam merawat penagih dadah untuk mengubah persepsi masyarakat yang ketika ini melihat golongan pesalah dadah ini sebagai penjenayah dan menjadi punca utama mereka kembali ke kancah penagihan.


"Perintah untuk menjalani pemulihan komuniti boleh dikeluarkan mahkamah bagi mereka yang terbabit dengan dadah untuk taat mengikuti pemulihan dan sebarang keingkaran atau lari dari pemulihan boleh diteruskan dengan hukuman di penjara yang lebih berat," katanya. – BERNAMA


30 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page