KUALA LUMPUR: Kesalahan dadah ditemukan dalam badan, memiliki atau menggunakan dadah dengan kadar yang kecil akan dekriminilisasi dan tidak lagi membawa kepada hukuman penjara.
Sebaliknya, pesalah Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan akan dimasukkan ke pusat pemulihan di bawah kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Justeru, Kementerian Dalam Negeri menyasarkan untuk membawa akta baharu itu ke mesyuarat Kabinet bagi mendapat kelulusan pada Julai ini sebelum dibentangkan di Parlimen.
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang berkenaan dadah.
Ini setelah akta baharu itu dimaklumkan oleh beliau buat kali pertama di sidang Parlimen pada Mac lalu, sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kesesakan di penjara.
“Dengan adanya undang-undang ini, kesalahan bagi jenis kesalahan dadah ditemui dalam badan baik kesalahan memiliki atau mengguna pada kadar lebih kecil, idea asalnya untuk tidak menganggap ia suatu jenayah dadah biasa atau dekriminilisasi.
“Jadi, bagi kes ini akan terus disalurkan pusat pemulihan sama ada pemulihan institusi atau pusat komuniti di bawah kendalian AADK, bukan lagi terus kepada penjara, itu akan menambah sesak lagi penjara,” katanya kepada pemberita ketika hadir Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri Madani.
Setakat ini katanya, terdapat kira-kira 40 buah penjara dengan kapasiti 65,000 banduan, yang memuatkan lebih kurang 73,000 ke 74,000 ketika ini, lebihan hampir 10,000 banduan.
Katanya, daripada jumlah itu, yang menjalani hukuman penjara kurang daripada tiga tahun berjumlah 18,000 banduan, namun menyifatkan jumlah itu kecil.
Beliau menjelaskan, terdapat tiga saluran saluran yang membolehkan banduan menjalani hukuman tidak serius berada di luar penjara iaitu program, program pembebasan berlesen dan program perintah kehadiran wajib.
Katanya, ia adalah usaha menuju ke arah pengurusan penjara moden, menggunakan falsafah dua per tiga daripada tempoh hukuman dihabiskan di luar penjara, dengan satu pertiga sahaja berada dalam penjara.
“Tapi saya bangga apabila kategori yang kita letak mereka di luar penjara walaupun tempoh hukuman mereka belum tamat, bagi setiap 800 banduan yang kita bebaskan, satu sahaja kes recidivism, maknanya satu kes sahaja mengulangi kesalahan, ini kejayaan Jabatan Penjara.
“Kita akan buat apa sahaja yang diperlukan, kita bercadang untuk tambah jumlah pejabat parol, idealnya perlu ada satu pejabat parol di setiap kawasan Parlimen, tapi ini perlu bajet, kita sekarang ada kira-kira 140 pejabat parol dan keutamaan kita adalah tambah jumlah parol,” katanya. – Oleh OMAR ZIN, UTUSAN
Yorumlar